HIJRAH SEHINGGA NABI MUHAMMAD STABIL DI MADINAH

HIJRAH SEHINGGA NABI MUHAMMAD STABIL DI MADINAH


Peristiwa-peristiwa Sejarah

1. Quraisy mendapat tahu tentang keislaman sekumpulan penduduk Yathrib. Lantaran itu, mereka meningkatkan penyeksaan kepada orang-orang mukmin di Makkah. Lalu Nabi s.a.w. mengarahkan orang-orang mukmin berhijrah ke Madinah.



Mereka berhijrah secara sembunyi kecuali Umar r.a.. Beliau telah memberitahu orang musyrik Quraisy tentang penghijrahannya seraya berkata: "Sesiapa yang mahu ibu kehilangan anaknya, esok tunggu aku di tengah wadi ini." Namun tiada seorang pun berani keluar menyahut cabarannya.

2. Apabila Quraisy merasa yakin bahawa orang Islam telah memperolehi kekuatan dan perlindungan di Madinah, mereka mengadakan satu persidangan di Dar an-Nadwah. Mereka bersidang untuk memikirkan langkah menghapuskan Rasul s.a.w. sendiri.

Mereka memutuskan untuk memilih seorang pemuda yang gagah daripada setiap kabilah. Kemudian kesemua pemuda tersebut membunuh Baginda serentak.

Justeru itu, tuntutan darah Baginda akan teragih kepada setiap kabilah menyebabkan Bani Manaf (keluarga Rasulullah) tidak upaya memerangi mereka semua dan terpaksa menerima bayarun diat sahaja.

Setelah itu pemuda-pemuda yang diwakilkan untuk membunuh Rasul s.a.w. berhimpun di muka pintu rumah Baginda pada malam Hijrah. Mereka menunggu Baginda keluar untuk membunuhnya.

3. Pada malam tersebut Rasulullah s.a.w. tidak tidur di tempat tidurnya. Baginda telah meminta Ali r.a. untuk tidur di tempatnya itu. Baginda juga memerintahkan beliau agar memulangkan barang-barang amanah yang disimpan oleh orang kafir Quraisy kepada Baginda pada keesokan harinya kepada pemiliknya.

Rasul s.a.w. telah meninggalkan rumahnya tanpa disedari oleh pemuda-pemuda yang diwakilkan untuk membunuhnya. Baginda pergi ke rumah Abu Bakar. Sebelum itu, Abu Bakar telah menyiapkan dua kenderaan untuknya dan Rasul s.a.w.. Mereka berdua memutuskan untuk keluar dari Makkah.

Abu Bakar mengupah Abdullah bin Uraiqit ad-Daili, seorang musyrik untuk menjadi penunjuk jalari ke Madinah. Dengan syarat dia mengelakkan jalan yang biasa diketahui dan menggunakan jalan lain yang tidak diketahui oleh kafir Quraisy.

4. Rasulullah s.a.w. dan sahabat Baginda, Abu Bakar keluar berhijrah pada hari Khamis, 1 Rabiul Awal, tahun ke-53 kelahiran Baginda s.a.w.. Hanya Ali r.a. dan keluarga Abu Bakar r.a. yang mengetahui tentang hijrah Baginda tersebut.

Anak-anak perempuan Abu Bakar, Aishah dan Asma' berperanan menyediakan bekalan untuk mereka berdua. Asma' telah memotong sebahagian daripada tali ikat pinggangnya, lalu mengikat mulut karung makanan tersebut.

Daripada peristiwa itu, dia digelar: "Zat an-Nitoqain" (Perempuan yang mempunyai dua tali ikat pinggang). Dengan bantuan Abdullah bin Uraiqit, Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar menghala ke Yaman sehingga sampai ke Gua Thur.

Mereka bersembunyi di dalamnya selama tiga malam. Turut bermalam bersama mereka, Abdullah bin Abu Bakar yang masih remaja. Beliau seorang pemuda yang berpengetahuan, mahir, peka dan cepat memahami.

Beliau akan keluar meninggalkan mereka pada waktu sahur lalu berpagi-pagian bersama Quraisy Makkah seolah-olah beliau tidur di Makkah. Apa-apa rancangan jahat terhadap Rasulullah dan Abu Bakar yang beliau dengar daripada Quraisy, akan diingat sehinggalah beliau menyampaikannya kepada mereka berdua pada waktu petangnya.

5. Kiamat seolah-olah berlaku kepada Quraisy setelah Rasulullah s.a.w. terlepas daripada usaha membunuhnya. Mereka keluar mengejar Baginda mengikut jalan Makkah yang biasa tetapi gagal menemui Baginda.

Mereka menghala menuju jalan ke Yaman sehingga sampai di muka Gua Thur. Sebahagian daripada mereka berkata: "Boleh jadi Muhammad dan temannya ada di dalam gua ini." Namun sebahagian yang lain menjawab:

"Kamu tidak nampakkah apa yang ada di muka gua ini. Bagaimana labah-labah menganyam sarangnya dan burung-burung bersarang di srni? Ini menunjukkan tiada seorang pun yang memasuki gua ini sejak sekian lama." Abu Bakar r.a. melihat kaki-kaki mereka ketika mereka sedang berdiri di muka gua itu.

Beliau menggeletar bimbangkan nyawa Rasul s.a.w., seraya berkata: "Demi Allah! Wahai Rasulullah, kalau salah seorang daripada mereka melihat ke tempat letak kakinya, nescaya dia akan melihat kita." Rasul s.a.w. mententeramkannya dengan bersabda:

"Wahai Abu Bakar, kamu sangka kita berdua, sedangkan Allah adalah yang ketiga"

6. Quraisy mengutuskan utusan menemui kabilah-kabilah dengan membawa tawaran sejumlah besar harta yang cukup menggoda sesiapa yang tamak.

Tawaran ini ditujukan kepada sesiapa yang menemui Rasul s.a.w. dan teman Baginda, membunuhnya, atau menawannya. Oleh itu, Suraqah bin Ja'syam menyahut tawaran itu. Dia bertekad dalam dirinya untuk mencari Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar demi membolot sendiri hadiah tersebut.

7. Setelah usaha memburu dan mencari Rasulullah s.a.w. dan temannya, Abu Bakar terhenti, mereka berdua keluar daripada gua tersebut bersama-sama penunjuk jalan mereka. Mereka melalui jalan pantai (pantai Laut Merah) merentasi jarak yang jauh.

Namun Suraqah telah berjaya menjejaki mereka. Apabila Suraqah mendekati mereka berdua, kaki-kaki kudanya terbenam ke dalam pasir dan tidak berupaya untuk berjalan. Dia mencuba sebanyak tiga kali supaya kudanya menuju ke arah Rasul s.a.w., namun kudanya tetap enggan. Pada ketika itu, dia yakin bahawa di hadapannya ialah seorang Rasul yang mulia. Lantas dia meminta supaya Rasul s.a.w. berjanji memberikannya sesuatu, jika dia menolong Baginda. Baginda menjanjikan untuknya dua gelang tangan yang dipakai oleh Kisra. Suraqah kemudiannya pulang ke Makkah dan berlakon seolah-olah dia tidak menemui sesiapa.

8. Rasul s.a.w. dan teman Baginda (Abu Bakar) telah sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awal. Baginda sampai ke sana setelah para sahabat lama menanti.

Mereka keluar setiap pagi ke pinggir Madinah dan hanya pulang setelah matahari memancar terik pada waktu tengah hari. Apabila mereka melihat Baginda, mereka merasa amat gembira. Kanakkanak mula mendendangkan nasyid diiringi dengan gendang-gendang:

Bulan purnama telah terbit kepada kami,
dari jalan-jalan bukit ul-Wada.
Wajib ke atas kami untuk bersyukur,
terhadap seruan penyeru kepada Allah.
Wahai utusan yang diutuskan kepada kami,
Kami datang bersama perkara yang dipatuhi.


9. Dalam perjalanan Baginda s.a.w. ke Madinah, Baginda singgah di Quba, sebuah kampung di selatan Madinah. Kira-kira dua batu dari Madinah. Baginda telah mengasaskan masjid pertama yang dibina dalam Islam dan tinggal di sana selama empat hari.

Kemudian Baginda bertolak ke Madinah pada pagi Jumaat. Ketika Baginda di perkampungan Bani Salim bin 'Auf, waktu solat Jumaat telah masuk.

Lalu Baginda membina sebuah masjid di situ dan menunaikan solat Jumaat pertama dalam Islam. Baginda s.a.w. menyampaikan khutbah pertama dalam Islam. Seterusnya Baginda menyambung perjalanan menuju ke Madinah.

Apabila sampai di sana, tindakan pertama yang dilakukan ialah memilih tempat unta Baginda
berhenti duduk, untuk dijadikan sebagai masjid. Tempat tersebut adalah milik dua orang kanak-kanak Ansor yang yatim. Baginda tawar menawar harga tanah tersebut dengan mereka berdua.

Kedua-dua kanak-kanak itu berkata: "Kami berikannya kepada kamu, wahai Rasulullah." Namun Baginda berkeras untuk membelinya dengan harga 10 dinar emas yang dibayar menggunakan harta Abu Bakar. Kemudian Baginda melakukan kempen agar orang Islam turut serta membina masjid.

Mereka segera melakukannya. Rasul s.a.w. turut terlibat bersama mereka memindahkan batu bata, sehinggalah sempurna pembinaan masjid tersebut. Dinding masjid itu dibina daripada batu bata dan bumbungnya daripada pelepah-pelepah kurma yang diletakkan pada batang-batang kurma.

10. Kemudian Baginda s.a.w. mempersaudarakan di antara Muhajirin dan Ansor. Baginda menjadikan untuk setiap Ansor seorang saudara daripada Muhajirin. Ada seorang Ansor telah membawa saudara Muhajirinnya ke rumahnya. Beliau menawarkan kepada saudara Muhajirinnya untuk membahagi sama rata semua barang yang terdapat di dalam rumahnya.

11. Kemudian Rasulullah s.a.w. menulis satu piagam bertulis antara Muhajirin dan Ansor. Di dalamnya Baginda berjanji untuk berbaik-baik dengan Yahudi di samping mengakui hak mereka dalam agama dan harta.

Ibnu Hisyam telah menyatakan piagam tersebut dengan panjang lebar dalam kitab sirahnya. Ia mengandungi prinsip-prinsip yang menjadi dasar asas kepada negara Islam yang pertama. Di dalamnya dinyatakan prinsip kemanusiaan, keadilan sosial, toleransi agama dan kerjasama demi kemaslahatan masyarakat yang patut dirujuk, difahami dan dihafal oleh setiap pelajar.

Kami sebutkan beberapa prinsip am yang terkandung dalam piagam bersejarah yang abadi ini:
  1. Kesatuan umat Islam tanpa sebarang diskriminasi antara mereka.
  2. Persamaan warga-warga umat Islam dari segi hak dan kemuliaan.
  3. Umat Islam perlu saling bahu membahu kecuali dalam kezaliman, dosa dan permusuhan.
  4. Penyertaan umat dalam menentukan bentuk hubungan dengan musuh-musuh mereka. Seluruh orang Islam perlu mempunyai satu pendirian terhadap musuh mereka. 
  5. Penubuhan masyarakat di atas sistem yang terbaik dan teguh.
  6. Membenteras pemberontak negara dan pengganggu gugat sistem awam di samping kewajipan agar tidak membantu mereka. 
  7. Hak perlindungan kepada sesiapa yang ingin hidup bersama orang Islam apabila dia menjalinkan hubungan baik, bekerjasama, tidak menzalimi dan mencerobohi hak orang Islam. 
  8. Bukan Islam mempunyai hak dalam agama dan harta mereka. Mereka tidak dipaksa memeluk agama Islam dun harta mereka tidak boleh dirampas. 
  9. Bukun Islam mestilah memberi sumbangan kepada pembiayaan negara sebagaimana orang Islam memberi sumbangan. 
  10. Bukan Islam mestilah bekerjasama dengan orang Islam untuk menghalang bahaya yang menggugat entiti negara melalui penentangan terhadap setiap pencerobohan. 
  11. Bukan Islam juga mestilah turut serta menanggung kos peperungan selagi mana negara berada dalam keadaan perang.
  12.  Negara mestilah membantu bukan Islam yang dizalimi sebagaimana ia menolong setiap orang Islam yang dicerobohi. 
  13. Orang Islam dan bukan Islam tidak boleh sama sekali melindungi musuh-musuh negara dan konco-konco mereka. 
  14. Sekiranya kemaslahatan umat terletak pada per-damaian, semua warga wajib menerima perdamaian. Sama ada orang Islam mahupun bukan Islam.
  15. Seseorang tidak dihukum dengan sebab dosa atau kesalahan orang lain. Seorang penjenayah sebenarnya melakukan jenayah terhadap diri dan keluarganya sendiri. 
  16. Kebebasan bergerak dalam negara dan kebebasan untuk keluar negara adalah terpelihara di bawah perlindungan negara.
  17. Tiada perlindungan kepada orang yang berdosa dan orang yang zalim.
  18. Masyarakat ditegakkan di atas dasar kerjasama dalam kebajikan dan taqwa, bukan dalam dosa dan permusuhan.
  19. Prinsip-prinsip di atas diperlihara oleh dua kekuatan:
  • Kekuatan maknawi (spiritual) iaitu: Keimanan rakyat kepada Allah, merasakan muraqabah-Nya (pemerhatian Allah) terhadap mereka dan penjagaan-Nya kepada sesiapa yang berbuat baik dan setia.
  • Kekuatan maddiyyah (material) iaitu: Kepimpinan negara yang diwakili oleh Nabi
    Muhammad s.a.w..

Baca juga :  SELEPAS HIJRAH NABI MUHAMMAD KE HABSYAH HINGGA HIJRAH KE MADINAH

Postingan terkait:

Belum ada tanggapan untuk "HIJRAH SEHINGGA NABI MUHAMMAD STABIL DI MADINAH"

Post a Comment